Oleh Zatul Iffah Zolkiply / Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA NERUS: Walaupun Karnival Jom Heboh (KJH) yang diadakan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini hanya bermula jam 8 pagi, orang ramai mula berkumpul di kawasan tapak seawal jam 7 pagi.
Malah, keadaan cuaca mendung dan ada kalanya hujan renyai-renyai tidak menghalang orang ramai untuk menghabiskan cuti hujung minggu bersama keluarga.
Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata, pihaknya terharu dengan sambutan luar biasa diberikan warga Terengganu terutama penduduk sekitar Kuala Terengganu dan daerah ini.
“Saya difahamkan ada pengunjung yang keluar dari rumah seawal jam 7 pagi semata-mata mahu ke sini sekaligus menunjukkan sambutan luar biasa masyarakat terhadap program ini.
“Malah, saya difahamkan,petang ini, kebanyakan orang dari Kelantan dan Pahang juga akan turun ke sini untuk menghadiri KJH ini dan kita percaya jumlah pengunjung akan bertambah petang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat tapak KJH.
Terdahulu, Syed Hussian bersama beberapa tetamu jemputan termasuk Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din dan Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia Mohd Efendi Omar meluangkan masa lebih satu jam melawat tapak karnival.
Syed Hussian turut mengalu-alukan orang ramai untuk datang bersama-sama memeriahkan karnival yang berlangsung selama dua hari sehingga esok.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang dapat melapangkan masa untuk menghadiri karnival kami pada pagi ini,” katanya.
Setakat jam 12 tengah hari, hampir 30,000 pengunjung direkodkan mengunjungi KJH yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai Acara Padang Paling Lama di Malaysia.
Terengganu menjadi lokasi kedua penganjuran KJH selepas lokasi pertamanya di Anjung Floria Putrajaya.