KUALA LUMPUR: Sempena menyambut Hari Kebangsaan ke-65, pelakon, Kenchana Dewi berharap pihak bertanggungjawab dapat mengembalikan pembabitan pelakon bukan berbangsa Melayu untuk terbabit dalam setiap drama atau filem tempatan.
Kenchana berkata, di awal pembabitannya dalam dunia seni lakonan pendekatan terbabit sering dipraktikkan bagi memupuk dan mengekalkan perpaduan antara kaum di Malaysia.
“Ketika zaman saya muda dulu kena ada tiga bangsa dalam setiap drama Melayu. Radio Televisyen Malaysia (RTM) sering mempraktikkan budaya ini.
“Kalau tiada inisiatif sebegini mungkin saya tiada dalam industri hiburan. Jadi sebab itu dulu mesti ada pelakon berbangsa Melayu, Cina dan India dalam setiap drama,” katanya.
Menurut Kenchana, dia berharap pembabitan pelakon berbilang kaum dapat ‘dihidupkan semula’ bagi mengeratkan perpaduan.
“Langkah ini secara tidak langsung dapat menyatupadukan setiap bangsa yang ada di Malaysia.
“Disebabkan itu, saya juga membesar dalam komuniti yang majoritinya adalah berbangsa Melayu tanpa ada perasaan apapun.
“Bagi saya, kita semua adalah sama dan tiada perbezaan. Itulah keunikan yang dimiliki di negara kita apabila dapat hidup secara harmoni walaupun berbilang kaum,” katanya. – HARIAN METRO