comscore
Tumpuan :
Santai

‘Kejayaan Luar Biasa, Mat Kilau Disebut Dalam Bajet 2023’

KUALA LUMPUR: Pengarah terkenal, Syamsul Yusof berbangga apabila filem epik sentuhannya, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan jadi sebutan dalam pembentangan Bajet 2023.

Ia lantas mendorong kerajaan membantu pembikin filem menghasilkan lebih banyak filem kenegaraan menerusi Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (DEKAN) berjumlah RM50 juta yang diperuntukkan.

Kata Syamsul, dia berterima kasih atas keprihatinan kerajaan dalam membantu memartabatkan filem kenegaraan.

“Kejayaan luar biasa filem Mat Kilau bukan sahaja di Malaysia, malah Singapura dan Brunei Darussalam. Ia juga trending di platform penstriman Netflix di beberapa negara.

“Alhamdulillah, kejayaan ini membuka mata kerajaan dalam memandang industri filem bukan hanya hiburan semata-mata, tetapi boleh menaikkan semangat patriotik dan tanamkan rasa cinta pada negara.

“Kali ini, saya melihat kerajaan sememangnya memberi sokongan padu kepada penerbit filem yang mahu menghasilkan filem epik yang benar-benar menaikkan semangat.

“Jadi, saya rasa bukan saya seorang sahaja yang gembira, tetapi pengkarya lain berbesar hati dan berterima kasih kepada kerajaan,” katanya kepada BH Online.

Malah, Syamsul berkata, dia juga gembira apabila ura-ura didengar sebelum ini mengenai sokongan itu menjadi nyata apabila dibentangkan dalam Bajet 2023, hari ini.

“Sebelum pembentangan Bajet 2023 berlangsung hari ini, ada ura-ura daripada pihak menteri bakal mengeluarkan kenyataan ingin membantu pengkarya filem. Hari ini, ternyata jelas kerajaan memperuntukkan RM50 juta menerusi DEKAN,” katanya.

Selain itu, Syamsul berterima kasih atas pemberian Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM102 juta bagi memasarkan produk penggiat seni, menggalakkan penghasilan lebih banyak karya kreatif dan malar segar.

“Pemotongan cukai dan peruntukan DKD sebanyak RM102 juta diumumkan amat membantu penerbit dan pengkarya filem memasarkan produk seni.

“Ia sesuatu yang amat dialu-alukan dan memberi semangat serta suntikan baharu kepada pengkarya seni menghasilkan karya lebih baik.

“Saya bersyukur kali ini kerajaan benar-benar nampak impak sesebuah filem bukan sahaja kepada rakyat, tetapi kepada negara.

“Seperti yang diketahui, filem Mat Kilau ‘trending’ di mata dunia, jadi orang luar sudah tahu serba sedikit mengenai budaya Malaysia. Syukur, Alhamdulillah,” katanya.

Berikutan itu, Syamsul berharap, usaha dan bantuan dapat diteruskan pada tahun akan datang.

Syamsul berkata, pengkarya filem perlu meningkatkan kreativiti dalam menyampaikan filem epik dengan baik, bukan sahaja kepada masyarakat Malaysia, malah di mata dunia.

Menerusi pembentangan Bajet 2023, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, penerbitan filem berunsur patriotik sentiasa menambat hati rakyat, lebih selepas melihat kejayaan Mat Kilau.

“Bermula karya seni Sarjan Hassan dan Leftenan Adnan digarap hebat, hinggalah ke filem Ola Bola dan Mat Kilau, semuanya memberi impak dalam mencambahkan benih cinta rakyat kepada negara.

“Kejayaan Mat Kilau dengan kutipan tertinggi dalam sejarah pastinya mendorong lebih ramai pengkarya menerbitkan filem seperti ini. Maka, Kerajaan akan menyediakan RM50 juta sebagai DEKAN bagi memacu industri kreatif tempatan.

“Bagi menyokong penggiat industri mencipta kandungan kreatif berkualiti tinggi, sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah FINAS akan diberi potongan cukai.

“Kerajaan juga bersetuju mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran,” katanya.

Selain itu, bagi mengelakkan khazanah seni menjadi lapok dan ditelan zaman apabila tiada lagi anak bangsa mewarisinya, kerajaan akan mempergiat Program Merakyatkan Seni, Budaya dan Warisan di peringkat akar umbi dengan peruntukan RM25 juta.

Loading...
Terkini