Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Festival bunga dan taman terbesar negara, FLORIA Diraja Putrajaya 2022 dilanjutkan dua hari lagi sehingga 6 September ini.
Perkara itu dimaklumkan Perbadanan Putrajaya (PPj) menerusi satu poster yang dimuat naik di dalam laman Facebook rasmi PPj.
“Di atas sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung serta mengambil kira minggu cuti sekolah yang akan bermula, FLORIA Diraja Putrajaya 2022 yang sepatutnya melabuhkan tirai pada 4 September 2022 (Ahad) ini akan dilanjutkan selama dua hari iaitu sehingga 6 September 2022 (Selasa).
“Ayuh beramai-ramai ke FLORIA Diraja Putrajaya bersama keluarga dan kenalan. Jumpa anda di sana,” katanya.
FLORIA Diraja Putrajaya 2022 anjuran PPj, Kementerian Wilayah Persekutan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bermula sejak 29 Ogos lalu di Anjung Floria, Presint 4, di sini.
Bertemakan ‘Floria Hebat’ dengan orkid diangkat sebagai bunga tema, edisi ke-12 festival bunga dan taman itu menghimpunkan kira-kira 10,000 orkid yang dipamerkan dengan lebih daripada 400,000 pokok pelbagai spesies.
Acara pameran bunga tunggal di negara ini turut mempamerkan Taman Keluarga Malaysia dengan konsep yang diadaptasi melalui tiga nilai iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.
Bayaran masuk adalah sebanyak RM15 untuk dewasa, RM5 untuk warga emas serta kanak-kanak dan RM100 untuk pengunjung antarabangsa.
Tiket boleh dibeli secara dalam talian di laman sesawang https://floria.putrajaya.my/.