comscore
Tumpuan :
Santai

Bekas Banduan Enggan Toleh Ke Belakang!

Che Mohd Amirul Che Ismail

GEORGETOWN: “Setahun di penjara bagai 10 tahun saya menjalani hukuman dan tidak mahu jejak kaki ke situ lagi.

“Kini saya sudah jalani hidup baharu dan berazam mahu sambung belajar serta ambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) semula,” kata Che Mohd Amirul Che Ismail, 24.

Che Mohd Amirul pernah menjalani hukuman penjara selama setahun di Penjara Pokok Sena, Kedah selepas ditahan angkara ketagihannya terhadap najis dadah.

Anak kelahiran Kupang, Baling itu berkata, sejurus dibebaskan pada Januari tahun lalu, dia diberi peluang bekerja di restoran nasi kandar terkenal di Pulau Pinang.

Berikutan pekerjaan yang sudah stabil, Che Mohd Amirul menyewa rumah di sini dan membawa isteri serta dua anaknya berusia dua tahun dan lima bulan, tinggal bersama.

“Anak tiri berusia tujuh tahun juga tinggal bersama kami dan hanya itu sahaja yang dapat saya lakukan bagi menebus semula masa lalu semasa tidak disamping mereka.

“Impian saya mahu menduduki semula SPM supaya dapat jalani kehidupan lebih baik pada masa depan dan menjadi contoh terbaik kepada anak-anak.

“Kepada insan yang bergelar bekas banduan, jangan sesekali toleh ke belakang sebaliknya bina semula hidup baharu dan bekerja dengan ikhlas serta banyakkan berdoa,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menceritakan kisah hidupnya, Che Mohd Amirul mula terbabit dengan dadah sejak berusia 13 tahun akibat terpengaruh dengan rakan dan berhenti sekolah empat tahun kemudian kerana tidak dapat mengatasi ketagihan.

Dia berkata, ketika dunia sedang berperang dengan Covid-19, dia bersama beberapa rakannya yang sedang khayal ditahan polis dalam satu operasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Katanya, berada dalam tahanan akhirnya terdetik keinsafan dalam diri dan saban malam Che Mohd Amirul menangis kerana teringatkan keluarga.

“Namun ada hikmahnya apabila saya sudah belajar solat lima waktu dan banyak menyertai aktiviti kerohanian di penjara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Restoran Hameediyah Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, seramai 20 bekas banduan diambil bekerja di premisnya dan ia inisiatif bersama Jabatan Penjara Malaysia bagi memberi peluang kepada golongan itu dan Orang Diparol (OD) mendapatkan pekerjaan selain mengatasi masalah kekurangan pekerja warga asing. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini