Tumpuan :
Prihatin

MUIP Bantu Ringankan Beban Azhar

Asmadi menziarahi Azhar yang diserang angin ahmar di PKR Semambu.

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyediakan bantuan kewangan secara bulanan kepada Azhar Mohamad, 37, yang diserang angin ahmar ketika bekerja di Korea Selatan pada Ogos lalu.

Selain bantuan RM800 sebulan yang disediakan bagi menampung perbelanjaan harian, turut diberikan bantuan sekali bayar (one-off) sebanyak RM2,000.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata bantuan bulanan mula dibayar bulan depan yang diharap dapat digunakan untuk membeli lampin pakai buang dan kos perubatan lain diperlukan Azhar.

Beliau berkata, bantuan one-off pula akan dibayar beberapa hari lagi untuk kemudahan memberi peralatan lain yang diperlukan.

Katanya, difahamkan keluarga telah membawa Azhar berurut dan proses berkenaan akan dilakukan secara berterusan sehingga beberapa peringkat.

“Saya kagum melihat semangat persaudaraan begitu kuat dalam kalangan adik-beradik Azhar yang menjaganya.

“Adik perempuan dan kakaknya bergilir setiap hari menjaga Azhar yang kini menetap di Perumahan Kos Rendah (PKR) Semambu, di sini,” katanya selepas mengunjungi kediaman keluarga berkenaan, semalam.

Katanya, difahamkan keadaan kesihatan Azhar semakin baik walaupun dia masih tidak mampu bertutur dan berdiri, tetapi sudah boleh makan secara normal, berbanding sebelum ini hanya minum susu menggunakan tiup melalui hidung.

Mengenai kos perubatan di Hospital Chungbuk National University, di Jincheon, Korea Selatan yang berbaki RM80,000, Asmadi berkata pihaknya sedia membantu sekiranya keadaan memerlukan selepas pihak keluarga gagal menyediakan wang untuk membayarnya.

“Saya menasihatkan kepada keluarga Azhar jangan sampai berhutang hanya kerana ingin menyelesaikan baki kos rawatan yang perlu dijelaskan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Pada 31 Ogos lalu, Azhar yang berasal dari Indera Mahkota, Pahang, ditemui rakan dalam keadaan separa sedar di rumah sewanya selepas mengalami serangan angin ahmar.

Susulan itu, beliau yang masih bujang dan bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Jincheon, Korea Selatan, dirawat di ICU Hospital Chungbuk National University.

Sementara itu, Norul Hanim, 34, adik kepada Azhar, berkata keadaan abangnya kini semakin baik dan sudah mula makan selain minum susu khas, berbanding sebelum ini.

“Dia dapat memahami apa yang kami adik-beradik cakap padanya setiap hari namun masih belum boleh bercakap dan anggota badan sebelah kananya tidak boleh bergerak.

“Untuk bergerak dia menggunakan kerusi roda dan kami turut membawa Azhar mendapatkan rawatan tradisional,” katanya.

Menurut Norul Hanim, keluarganya masih merayu sumbangan orang ramai bagi membantu menyelesaikan kos rawatan Azhar.

Kos keseluruhan perubatan berjumlah kira-kira RM280,000 dan sebanyak RM200,000 telah dilunaskan oleh ahli keluarga melalui dana sendiri serta sumbangan orang ramai.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini