comscore
Tumpuan :
Prihatin

MAFI Banci Kerugian Petani, Penternak Mangsa Bah Di Baling

Datuk Seri Ahmad Hamzah (tengah) menyampaikan bantuan peralatan perniagaan dan pertanian kepada usahawan Parlimen Jasin di Merlimau Utara, hari ini. – FOTO: NSTP

JASIN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang melakukan bancian terhadap kerugian yang dialami golongan petani dan penternak yang terjejas akibat banjir di Baling, Kedah.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata pihaknya menerusi jabatan serta agensi di bawah MAFI seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sedang memantau situasi bencana itu di beberapa kawasan dalam daerah terbabit.

Ditemui pemberita selepas Program Peningkatan Ekonomi Kepada Usahawan dan Peniaga Kecil dan Petani Parlimen Jasin, di sini hari ini, beliau berkata, hasil bancian itu akan diteliti MAFI sebelum perbincangan diadakan mengenai penyaluran bantuan terbabit.

“Bantuan akan disalurkan segera kepada golongan terbabit sebaik perbincangan itu selesai kelak. MAFI berdukacita dengan situasi berkenaan dan berharap semua mangsa terbabit bersabar dengan ujian Allah ini,” katanya.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata, pihaknya sudah melakukan bancian awal susulan banjir kali pertama di daerah berkenaan, namun diteruskan semula baru-baru ini selepas kejadian sama berulang.

Sehubungan itu, katanya, MAFI mengambil keputusan untuk mengumpul terlebih dulu data serta bancian yang dibuat sebelum membentangkannya pada mesyuarat khas.

“Insya-Allah, MAFI juga terkesan apabila ada dalam kalangan petani, penternak dan nelayan yang terjejas akibat sesuatu bencana dan sudah pasti, kami prihatin serta akan menghulurkan bantuan sewajarnya.

“Ia sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu semua nasib rakyat sentiasa diberikan perhatian dan dibela,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini