MELAKA: Kehilangan isteri seorang ahli perniagaan sejak Mac lalu terus menimbulkan tanda tanya hingga kini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, wanita terbabit, Koh Keng Jee, 54, berasal dari Taman Cheng Perdana di sini, belum ditemui selepas keluar dari rumah jam 8 pagi, 16 Mac lalu.
Menurutnya, wanita dengan ketinggian 160 sentimeter, bertubuh kurus, rambut hitam paras bahu dan berkulit cerah itu kali terakhir dilihat suaminya memakai baju-T dan berseluar panjang.
Katanya, ahli perniagaan berusia 60 tahun memberitahu isterinya yang tidak bekerja keluar rumah tanpa memberitahunya dan tidak membawa beg pakaian.
“Mengikut keterangan suaminya, wanita itu dikatakan gemar berjudi dan berhutang. Namun hingga kini dia tidak menerima panggilan atau maklumat kehilangan isterinya.
“Pengadu cuba menghubungi isterinya berulang kali namun gagal. Tiada masalah di antara mereka berdua.
“Keluarga isteri dan rakan yang dihubungi tidak tahu di mana wanita itu berada hingga sekarang.
“Bimbang keselamatan isterinya, pengadu membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Minyak pada 29 April lalu,” katanya.
Beliau berkata, hasil semakan Jabatan Imigresen juga tidak mengesan sebarang pergerakan keluar negara oleh wanita itu.
Christopher berkata, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat boleh menghubungi Sarjan Ahmad Harun dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di talian 013-4025710. -HARIAN METRO