Tumpuan :
Prihatin

Bayi Comel Ditinggalkan Ibu, Hampir Setahun Jadi ‘Penghuni’ Hospital

Bayi perempuan berusia 11 bulan yang ditinggalkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru. – FOTO : Ihsan JKM

JOHOR BAHRU: Usianya baru 11 bulan, namun bayi perempuan comel ini sudah melalui pelbagai penderitaan.

Dijangkiti COVID-19 selepas lahir dan mengalami pelbagai komplikasi kesihatan, namun paling menyedihkan, dia juga mangsa pengabaian apabila ditinggalkan ibu kandungnya di hospital.

Kini, dia diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berusaha mengesan wanita berkenaan.

Pegawai JKM Daerah Johor Bahru, Adnan Md Yassin, berkata bayi perempuan itu masih berada di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini kerana menjadi mangsa pengabaian.

“JKM ingin mengesan ibu kandung seorang bayi perempuan berusia 11 bulan yang mengalami komplikasi kesihatan selepas sembuh jangkitan COVID-19.

Sepatutnya dia sudah boleh pulang selepas selesai menjalani rawatan.

“Sistem respiratori bayi berkenaan terjejas hingga terpaksa bergantung kepada bantuan oksigen, termasuk selepas dibawa pulang nanti.”Difahamkan sekiranya tidak dibekalkan oksigen bagi tempoh melebihi 20 minit, dia dalam keadaan berisiko dan mungkin memerlukan penjagaan setiap masa selepas dibawa pulang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengikut rekod hospital, Adnan berkata, ibu bayi berkenaan dikenali sebagai Rozana Roslan yang berusia 20 tahun.

“Wanita berkenaan berjanji mahu membawa bayinya pulang sebaik rawatan selesai, namun gagal menuntutnya hingga pihak hospital berdepan masalah untuk urusan discaj.”Sehingga kini wanita berkenaan gagal menghubungi pihak hospital dan usaha JKM menjejaknya di sebuah flat di Taman Ungku Tun Aminah di sini baru-baru ini, juga menemui jalan buntu,” katanya.

Katanya, JKM mendapati rumah berkenaan sudah disewa penghuni lain dan Rozana juga difahamkan sudah berpindah.

Adnan berharap orang ramai membantu mengesan ibu kandung kanak-kanak berkenaan dengan menghubungi talian 07-2232606 atau 07-2232607 untuk menyalur atau mendapatkan maklumat lanjut. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini