KUANTAN: Datuk Seri Zamri Ramly mengesahkan akan bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Pekan yang kini dipangkunya bagi menggantikan penyandang, Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Ketua UMNO Pekan itu memangku jawatan ketua bahagian pada Ogos tahun lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda ke atas Najib.
Katanya, keputusan itu diharap membantu mengukuhkan UMNO Pekan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Sekarang ini masa mencabar untuk parti dan dengan pengalaman, saya harap dapat membantu UMNO merekrut lebih ramai ahli muda di bawah sayap Pemuda dan Puteri.
“UMNO Pekan tidak menunjukkan prestasi baik dari segi undi pada PRU15 dan diharapkan ia akan lebih baik,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Setakat ini hanya Zamri mengesahkan hasrat untuk bertanding jawatan nombor satu UMNO Pekan itu, namun difahamkan ada kemungkinan berlaku pertandingan.
Dalam pada itu, Zamri turut membayangkan anak sulung Najib, Datuk Nizar Mohd Najib yang kini Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya mungkin bertanding jawatan timbalan atau naib ketua UMNO bahagian itu. – BERITA HARIAN