MELAKA: Beberapa ‘orang lama’ yang menyandang Ketua Wanita bahagian Melaka gagal mempertahankan jawatan, sekali gus menyaksikan perubahan pucuk kepemimpinan sayap berkenaan.
Antara yang tewas termasuklah Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Latipah Omar yang kalah dengan majoriti besar dengan pencabarnya, Siti Kalthsom Ahmad bagi jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Masjid Tanah.
Latipah yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning dan juga bekas EXCO Negeri, memperoleh 99 undi berbanding Kalthsom yang mendapat 225 undi.
Seorang lagi penyandang jawatan Ketua Wanita, Datuk Zaleha Bujang turut tewas di Jasin selepas hanya mampu meraih 27 undi, berbanding pencabarnya yang juga ADUN Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis, yang mendapat 294 undi dan seorang lagi calon, Rositah Othman (127 undi).
Di Alor Gajah pula, pemimpin wanita tempatan, Rabeah Adawiyah Mohd Ali menang selepas mendapat 263 undi, manakala pencabarnya, Azniza Ahmad Khuzairi pula, 92 undi.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya yang juga ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin, mempertahankan jawatan dengan 209 undi, manakala pencabarnya, Wan Faudzilah Wan Abdullah pula memperoleh 126 undi.
Di Tangga Batu, Datuk Nor Adibah Abdullah juga berjaya mempertahankan jawatan selepas mendapat 256 undi, manakala pencabarnya, Datin Seri Fadilah Abdullah yang juga isteri kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, hanya mampu berpuas hati dengan 65 undi.
Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah, menang tanpa bertanding di kawasan berkenaan.
Bagi Pemuda UMNO pula, hanya dua bahagian menyaksikan pertandingan jawatan Ketua Pemuda iaitu di Alor Gajah dan Tangga Batu.
Amirul Basiron menang dalam perebutan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Gajah selepas mendapat 137 undi menewaskan Muhamad Nur Khairin Kasim (126 undi), manakala Ahmad Yusuf Rahmat pula menang sebagai Ketua Pemuda Tangga Batu dengan memperoleh 189 undi, mengalahkan Mohd Nor Azlan Arifin (108 undi).
Mereka yang menang tanpa bertanding bagi jawatan itu adalah Abdul Hakim Abdul Wahid (Masjid Tanah), Muhamad Najmi Mohd Nordin (Hang Tuah Jaya), Mohd Asyraf Zainal (Kota Melaka) dan Muhamad Farouq Mustafa (Jasin).
Sementara itu, hanya satu daripada enam bahagian yang menyaksikan pertandingan bagi jawatan Ketua Puteri iaitu Tangga Batu dengan muka baharu, Nur Izzi Mohamad Ali memperoleh 111 undi menang ke atas Muzhidayah Tajuddin (75 undi), manakala Ketua Puteri bahagian lain disahkan menang tanpa bertanding.
Mereka adalah Nurul Amirah Mohd Yusof (Masjid Tanah), Fatin Fadillah Razak (Alor Gajah), Nur Shuhada’ Zulkharnain (Hang Tuah Jaya), Nur Farhana Abd Ghani (Kota Melaka) dan Asmah Sulaiman (Jasin).
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mustafa Musa berkata, proses pengundian yang diadakan di semua bahagian itu semalam, berjalan lancar dengan dipantau oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) yang dilantik.
Katanya, walau pun di beberapa bahagian menyaksikan pertandingan sengit merebut kepemimpinan sayap parti, termasuk di peringkat Pusat, tetapi proses pengundian dan pemilihan berjalan lancar, tenang dan tertib.
“Bagi pihak Badan Perhubungan UMNO negeri, saya mengucapkan tahniah kepada semua perwakilan sayap yang menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan semangat dan disiplin tinggi demi demi kelangsungan perjuangan UMNO.
“Saya turut mengucapkan tahniah kepada mereka yang menang dan berharap semoga mereka dapat menjalankan tanggungjawab dan tugas untuk mendokong amanah parti,” katanya.