KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) : Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin MCA dan MIC akan terus setia bersama BN biarpun mendapat ‘lamaran’ untuk bersama parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata parti yang membuat ‘lamaran’ berkenaan, memang sering mengambil kesempatan setiap kali tiba pilihan raya termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Umum (PRU).
“Apabila ada PRK dan PRN lebih-lebih lagi PRU, terus-terusan tawaran-tawaran ini akan dilakukan mereka, tetapi saya yakin, MCA dan MIC akan tetap bersama dengan BN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Minggu Usahawan Negara dan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Peringkat Kebangsaan 2023 di Dataran Merdeka hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditanya berhubung tindakan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mempelawa MCA serta MIC bekerjasama pada PRN nanti dan meninggalkan BN.
Ditanya mengenai keputusan bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menjadi ahli Bersatu semalam, Ahmad Zahid mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan menegaskan UMNO dan BN hanya memerlukan pemimpin yang setia -BERNAMA