PETALING JAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan hubungan UMNO dan MIC renggang.
Beliau sebaliknya menyifatkan pihak yang membuat dakwaan sedemikian sebagai terdesak dan muflis modal politik.
Presiden UMNO itu juga berkata, keberadaan kepimpinan MIC dalam BN masih teguh dan jelas menterjemah perpaduan yang terus utuh dipertahan sejak 1973.
“Walaupun ada pihak yang cuba menggambarkan hubungan antara UMNO dan MIC yang katanya semakin renggang, ia lebih kepada tindakan terdesak dan muflis modal politik pihak tertentu apatah lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung.
“Kesetiaan parti-parti dalam BN ini menjadi asas kepada banyak kejayaan yang diperoleh oleh negara ini dan saya sentiasa harapkan kesinambungan persahabatan dari peringkat kepimpinan hingga akar umbi kekal dipertahankan selamanya,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Sebelum ini media melaporkan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan MIC hari ini bertujuan membincangkan berkaitan dengan dakwaan ‘layanan buruk’ UMNO ketika rundingan kerusi PRN enam negeri sebelum ini.
Presiden MIC, SA Vigneswaran sebelum ini menyatakan parti itu menarik diri daripada bertanding pada PRN 12 Ogos ini kerana mendakwa diketepikan dalam perbincangan rundingan kerusi antara BN dan Pakatan Harapan (PH).
Situasi itu membawa kepada perpecahan dalam MIC sendiri, dengan beberapa pemimpinnya kemudian berpaling tadah kepada Perikatan Nasional (PN).
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, dalam pertemuan bersama Anwar itu, MIC menyatakan pelbagai pandangan dan hasrat bagi menjayakan agenda Kerajaan Perpaduan dan menunjukkan komitmen untuk membantu memenangkan calon-calon BN dan PH pada PRN kali ini.
“Sebagai Pengerusi BN, saya percaya pertemuan hari ini menunjukkan kebersamaan dan solidariti di antara parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan dan juga BN,” katanya.