HULU SELANGOR: Orang Melayu dan penyokong parti UMNO dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu diingatkan supaya keluar mengundi calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP, Pang Sock Tao, pada hari pengundian esok.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sokongan kepada Sock Tao mustahak kerana ia seiring dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan.
“Sebab itu pada Sabtu ini, saya selaku Setiausaha Agung UMNO minta seluruh orang Melayu, penyokong UMNO sebab dulu kita pernah sokong calon MCA.
“Hari ini kita sokong yang mewakili aspirasi Kerajaan Perpaduan, siapa dia? Calon nombor dua (Sock Tao). Yang paling penting Sabtu ini kita kena nobatkan YB (Yang Berhormat) Pang (Sock Tao sebagai wakil rakyat).
“Dia (Sock Tao) akan jaga semua. Dia akan jaga bukan saja orang UMNO, Barisan Nasional (BN) dan PH tetapi juga seluruh rakyat berbilang kaum. Jangan lupa ini semua muka yang mengangkatnya.
“Saya percaya, YB yang kita angkat akan jadi jambatan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan. Saya percaya kesejahteraan dan kebajikan rakyat akan terpelihara. Justeru, saya seru sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan. Undi calon nombor dua (Sock Tao),” katanya dalam ceramah mega perpaduan malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan, Asyraf Wajdi berkata, beliau tidak pernah bermimpi untuk berada di bawah khemah yang sama dengan seteru.
Beliau berkata, takdir yang membawa kepada kebersamaan UMNO dan BN dengan PH yang komponennya terdiri daripada PKR dan DAP serta AMANAH, selepas sekian lama bermusuhan.
“Saya tak pernah bermimpi suasana begini. Tak pernah mimpi (bersama) pemimpin (yang) apa kami tak pernah kata kepada mereka. Apa yang saya tak kata kepada Lim Guan Eng dan Anthony Loke.
“Tetapi ini bukan kehendak kita. Ini adalah ketentuan tuhan. Ini juga adalah titah Yang di-Pertuan Agong. Jangan lupa tarikh 22 November apabila Tuanku Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya noktahkan sengketa lama, fikir soal rakyat dan segera tubuh Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.