HULU SELANGOR: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Hulu Selangor, Dr N Sathia Prakash bercadang mewujudkan Tabung Harapan Hulu Selangor, sebagai langkah permulaan membentuk inisiatif membela nasib rakyat kurang berkemampuan.
Beliau berkata, inisiatif itu diilhamkan olehnya bagi memudahkan masyarakat mendapatkan bantuan terus tanpa melalui mana-mana pihak.
Justeru, Dr Sathia berkata, jika diberi mandat menjadi Ahli Parlimen selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selepas 19 November ini, beliau sanggup tidak menerima gaji demi mengisi tabung terbabit.
“Tabung ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh ketiga-tiga pecahan kategori penerima sekiranya memerlukan sebarang perbelanjaan segera.
“Saya akan pecahkan jumlah gaji tersebut kepada tiga bahagian iaitu 30 peratus belia, 30 peratus wanita dan 40 peratus kesihatan,” katanya, ketika bersiaran secara langsung sempena Pelancaran Tawaran Harapan P094 Hulu Selangor di Bilik Gerakan Utama Harapan Hulu Selangor, di Serendah, di sini.
Memberi contoh jika pesakit yang memerlukan bantuan kerusi roda dan permohonan untuk mendapatkannya terpaksa melalui proses panjang, Dr Sathia berkata, Tabung Harapan itu boleh digunakan bagi mendapatkan kerusi tersebut segera.
“Belia yang memerlukan kelengkapan untuk sebarang aktiviti sukan, kebiasaannya mereka terpaksa membuat permohonan mengikut prosedur biasa yang mungkin memakan masa yang lama.
“Jadi, Tabung Harapan ini boleh digunakan untuk menyelesaikan keperluan tersebut. Begitu juga melibatkan apa saja keperluan wanita di dalam Parlimen Hulu Selangor,” katanya.
Dr Sathia berkata, inisiatif yang diwujudkan itu adalah langkah jangka pendek dalam menyelesaikan setiap keperluan rakyat yang asas dan mendesak.
“Saya sentiasa merancang untuk membawa penyelesaian jangka masa pendek, sederhana dan panjang demi kesejahteraan rakyat Hulu Selangor,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Sathia turut mengumumkan 12 tawaran Harapan Hulu Selangor yang akan dilaksanakan untuk manfaat rakyat.
Tawaran terbabit adalah menaik taraf kemudahan jalan raya dan sistem pengangkutan awam, mewujudkan hospital pakar kerajaan, penambahan klinik kesihatan di kawasan Bukit Sentosa dan memperkasa dasar rumah mampu milik.
Selain itu, turut ditawarkan memperkasa dasar rumah mampu milik, menyelesaikan projek pembangunan terbengkalai, memperluaskan peluang pekerjaan untuk golongan B40 dalam pelbagai bidang, memperluaskan capaian internet berkelajuan tinggi, pemerkasaan teknologi hijau ke arah kelestarian alam sekitar, memastikan prasarana sukan dan rekreasi yang lengkap dapat disediakan, mempertingkatkan program pembangunan usahawan dan merancakkan sektor pelancongan daerah. – BERITA HARIAN