comscore
Tumpuan :
Nasional

WARISAN tidak bersendirian, ada “kawan” PRN Sabah nanti – Shafie Apdal

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sidang media selepas hadir pada Program Bersama Akar Umbi Putatan, di sini, hari ini.

Oleh: Safwan Sawi

PUTATAN: Parti Warisan (WARISAN) tidak akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang secara bersendirian dan kini sedang menilai parti yang sesuai bagi membentuk kerjasama yang kukuh, kata Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, WARISAN sedang membuat penilaian teliti bagi memastikan rakan parti yang bakal dipilih mampu membawa perjuangan sama antaranya untuk rakyat Sabah dan kerjasama itu mampu bertahan untuk suatu tempoh yang panjang.

“Memang ada kenalpasti beberapa parti antaranya UMNO di peringkat negeri Sabah tetapi kita belum putuskan apa-apa lagi (untuk kerjasama) pada masa ini, banyak juga…parti tempatan (untuk kerjasama) kita umum bila tiba masanya.

“Dengan Pakatan Harapan (PH) kita sudah ada (kerjasama) di peringkat nasional bersama dalam Kerajaan Perpaduan, sebenarnya saya antara terawal sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Bersama Akar Umbi Putatan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, WARISAN yang bertanding bersendirian memenangi tiga kerusi Parlimen daripada keseluruhan 52 kerusi Parlimen yang ditandinginya di seluruh negara.

PRN Sabah Ke-16 tahun 2020 menyaksikan WARISAN ketika itu bekerjasama dengan PH membentuk WARISAN Plus memenangi 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah daripada keseluruhan 73 kerusi DUN negeri itu, manakala penggal pentadbiran kerajaan negeri ketika ini akan tamat pada 2025.

Shafie berkata, apa yang penting sekarang adalah untuk WARISAN mengukuhkan parti terlebih dahulu sebelum mengorak langkah seterusnya untuk menjalin kerjasama dengan parti lain.

Beliau berkata, WARISAN juga akan mempersiap parti untuk menghadapi PRN Sabah biarpun pilihan raya itu diadakan tahun ini atau tahun depan.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi pada PRN Sabah nanti, katanya sudah tentu WARISAN tidak akan bertanding di semua 73 kerusi DUN dan akan berbincang dengan parti yang menjalin kerjasama itu, namun WARISAN tidak menolak kemungkinan untuk mempertahankan kerusi DUN yang dimenangi pada PRN Sabah lalu.

Menjelaskan mengenai kedudukan WARISAN, beliau berkata parti itu merupakan antara parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan, bagaimanapun di peringkat negeri WARISAN tidak termasuk sebagai parti yang membentuk kerajaan Sabah.

Loading...
Terkini