Tumpuan :
Politik

Wanita UMNO Kota Melaka sokong Shahrizat kembali terajui sayap parti

Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah

Oleh: Baharuddin Mohamed

MELAKA: Pergerakan Wanita UMNO Kota Melaka antara 147 bahagian yang menyatakan sokongan terhadap Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil untuk kembali menerajui kepemimpinan sayap parti tersebut pada pemilihan UMNO bulan depan.

Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, kepimpinan Shahrizat dilihat amat diperlukan bagi memulihkan semula sayap parti berkenaan yang kini dianggap ‘lemah dan lesu.’

“Wanita memerlukan kepimpinan yang berkesan untuk memimpin pergerakan ini dalam dunia semakin mencabar ini.

“Secara peribadi, saya tidak pernah berada dibawah kepimpinannya semasa memimpin Wanita UMNO namun reputasi dan legasi semasa menjadi menteri pertama di Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang ditinggalkan sebelum ini amat berkesan dan banyak kejayaan yang dihasilkan.

“Beliau sentiasa menjadi idola kebanyakan wanita di luar sana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Haryaty, pada dasarnya, Shahrizat bersetuju untuk kembali semula ke ‘gelanggang’ selepas semua 147 Ketua Wanita UMNO bahagian seluruh negara mengadakan pertemuan dengan bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.

Dalam pertemuan itu jelas beliau, sebahagian besar Ketua Wanita UMNO bahagian meminta Shahrizat kembali menerajui kepimpinan sayap itu.

“Selaku kepimpinan wanita awal 40-an, saya perlu mendapatkan sentuhan kepimpinan Shahrizat bagi membimbing dan menyediakan barisan pelapis yang berkaliber untuk parti seterusnya menjuarai isu-isu wanita dengan membawa suara wanita Malaysia,” jelasnya.

Tegas Haryaty, pergerakan itu sebagai tulang belakang parti perlu terus berperanan menjaga akar umbi dan menjadi petugas utama melalui ‘Jalinan Rakyat’ dalam setiap pilihan raya.

Meskipun wakil Wanita UMNO sebagai pembuat dasar masih rendah, katanya, namun khidmat pergerakan untuk parti tidak boleh dinafikan.

“Isu-isu wanita tidak pernah kurang, sebaliknya meningkat sejak pandemik COVID-19 melanda,” tambahnya.

Terdahulu, media melaporkan Shahrizat dikatakan bakal kembali ke gelanggang sekali gus menjadi pesaing kepada Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO.

Pada pemilihan parti 2018, Datuk Noraini Ahmad dipilih menerajui Pergerakan Wanita UMNO selepas menewaskan Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

Loading...
Terkini