Oleh Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan hampir pasti dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Parlimen Tasek Gelugor dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ia selepas bahagian Tasek Gelugor bersetuju untuk memberi laluan kepada Datuk Wan Saiful selepas pertemuan Ketua Bahagiannya, Azmi Alang dengan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam satu kenyataan, BERSATU Bahagian Tasek Gelugor memaklumkan bahawa Azmi telah mengadakan perbincangan empat mata dengan Tan Sir Muhyiddin di kediamannya pada 25 Oktober dan menyatakan sokongan penuh untuk menamakan Datuk Wan Saiful yang juga bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional sebagai calon Tasek Gelugor.
“BERSATU Tasek Gelugor pada awalnya menamakan Ketua Bahagian (Azmi Alang) untuk menjadi calon. Namun kami bersedia memberi laluan dan menyokong Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk membuka ruang bagi tokoh muda peringkat nasional yang berpotensi menjadi menteri kabinet untuk membawa kemakmuran kepada semua rakyat Tasek Gelugor.”
“Azmi Alang juga menunjukkan jiwa besar kerana bukan sahaja menyokong sepenuhnya Datuk Wan Saiful, tetapi juga akan bekerja untuk memenangkan calon kami,” katanya.
Sehubungan itu, BERSATU Tasek Gelugor berharap PN pusat akan memberi perhatian kepada pandangan itu ketika membuat pemilihan calon.
Kerusi Tasek Gelugor dimenangi Datuk Shabudin Yahaya atas tiket Barisan Nasional dalam PRU-14, namun kemudiannya keluar parti dan menyertai BERSATU.
Beliau juga mengumumkan tidak berhasrat untuk bertanding dalam PRU-15.
Parti Amanah Negara telah menamakan Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan sebagai calonnya, manakala Barisan Nasional dijangka mengumumkan calon pada 3 November.