PETALING JAYA: Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memohon maaf kepada semua ahli PAS berhubung satu catatan lama mengutuk pemimpin parti itu yang dimuatnaik dalam Twitter.
“Saya ingin meminta maaf kepada semua ahli PAS kerana telah menggunakan kata-kata yang kurang sopan.
“Saya amat kesali perkara ini, dan akan lebih berhati-hati di masa hadapan,” katanya di Facebook.
Tambahnya, beliau akan terus bersama dengan Perikatan Nasional (PN) dan PAS untuk memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan untuk rakyat Kelantan dan Malaysia, menurut tuntutan Islam.
Terdahulu, Wan Fayhsal mengumumkan beliau secara rasminya menjadi calon bagi PN di kerusi Machang serta menyaran pengundi supaya memilih logo PAS pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Susulan itu, warganet menghentam Wan Fayhsal menerusi satu ciapan Twitter lama mengatakan ‘Bodoh penyokong PAS’ yang pernah dimuatnaikkan, meskipun ciapan itu telah dipadamnya sejak Februari 2019. – BULETIN TV3