comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] UMNO perlu gariskan tiga faktor penting pastikan kemenangan: Parti, calon dan jentera

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

Dalam memastikan UMNO dapat memenangi semula hati rakyat, parti, calon dan jentera parti memainkan peranan yang sangat penting.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata komponen-komponen ini merupakan satu entiti yang tidak dapat dipisahkan jika mahu menang.

“Kalau kita tidak ada parti yang bagus, agak sukar (untuk menang), sebab apa, kita tengok seorang statesman macam Tun Mahathir pernah menjadi Perdana Menteri 22 tahun, kemudian 22 bulan, kemudian bertanding PRU-15 kalah hilang deposit kepada orang yang tak dikenali, sebab parti dia tidak ada, orang tak kenal parti PEJUANG.

FOTO: NSTP

“Yang kedua kita mesti ada jentera yang mantap, di setiap tempat yang kita bertanding ini kalau kita ada parti yang bagus, yang ada ‘track record’ bersih, tapi kalau tidak ada jentera yang bagus, tak boleh juga menang.

“Ketiga, sudah tentu kita juga perlukan calon yang bagus,” ujarnya ketika ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO 2023, sebentar tadi.

Katanya lagi, sekiranya ada elemen tidak berpuas hati dalam jentera, perlu diselesaikan segera kerana penyusunan jentera pada saat-saat akhir pembubaran (Parlimen) adalah mustahil dilakukan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Titiwangsa itu turut mencadangkan supaya ketua bahagian mengenalpasti calon-calon yang bakal bertanding, lebih awal.

“Selalunya wujud masalah apabila ada calon selain daripada ketua bahagian, kita juga tak boleh salahkan mereka sebab ada ketua bahagian yang bekerja siang malam tapi last sekali tak dapat jadi calon, jadi dia rasa kecewa, kalau bukan dia sekalipun, pasukan jentera dia akan kecewa, jadi bila calon baru ni datang, dia akan jadi masalah.

“Bukan calon baru ini tak bagus, tapi kerana jentera kita tidak disusun dengan baik, akhirnya ada parti yang bagus, calon yang bagus, jentera tak bagus maka dia (kemenangan) tak jadi.” katanya.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Johari memaklumkan setiap calon perlu dinilai prestasi mereka setiap tahun, dan boleh digantikan dengan calon lain sekiranya tidak dapat menjalankan tugas dengan baik.

Beliau turut menitipkan pesanan untuk semua calon yang bakal bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk menanam sikap berhati-hati.

“Dalam pertandingan pilihan raya ini tidak ada kerusi selamat, semua kerusi tak selamat, jadi kalau nak selamatkan kerusi itu, kita lah yang menyelamatkannya.”

Loading...
Terkini