Oleh Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: UMNO diingatkan untuk tidak menjadikan kemenangan di Dun Mahkota sebagai asbab untuk bersifat angkuh dan bongkak sebaliknya perlu memastikan mandat yang diberikan, digalas dengan sebaik mungkin.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peringatan itu disampaikan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) ketika mesyuarat yang berlangsung di Menara UMNO.
“Mesyuarat menegaskan bahawa kemenangan ini tidak harus menjadikan UMNO angkuh dan bongkak, sebaliknya memastikan mandat yang diberikan
rakyat dilaksanakan dengan penuh tawaduk dan beramanah”
Ujar beliau lagi, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor, turut memberi isyarat jelas bahawa rakyat menerima baik model kerjasama Kerajaan Perpaduan.
“Yang berteraskan prinsip kesederhanaan, toleransi, tidak ekstrem dalam memainkan sentimen agama mahupun bangsa yang boleh memudaratkan keharmonian rakyat berbilang kaum,” katanya dalam kenyataan media selepas berakhir mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini.
Mesyuarat dipengerusikan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu turut dihadiri Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Pada PRK Dun Mahkota, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti lebih besar selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah menang menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang menang dengan majoriti 20,648 selepas meraih 27,995 undi, berbanding Mohamad Haizan atau Coach Haizan dengan 7,347 undi.
Dalam pada itu, Datuk Asyraf berkata, ahli UMNO di semua peringkat diminta untuk berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi membantu rakyat tanpa mengira ideologi parti mahupun kaum sebagaimana tradisi UMNO sejak dulu dalam menghadapi sebarang musibah bencana alam khususnya musim tengkujuh yang mendatang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.