comscore
Tumpuan :
Politik

UMNO terus perkukuh, pertahan Kerajaan Perpaduan sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong – MKT

KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO akan terus mendokong pendirian parti untuk menyokong kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia sebagaimana diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 24 November tahun lalu serta diluluskan sebulat suara perwakilan Perhimpunan Agung UMNO pada Januari lalu.

 

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

“Sempena setahun usia Kerajaan Perpaduan, MKT menegaskan pendirian parti untuk terus memperkukuhkan dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong.

“Memperteguhkan asas-asas kerjasama yang dipersetujui bersama antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan melalui perjanjian yang dimeterai terutama berkenaan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, Kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera; dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Terdahulu, MKT UMNO bermesyuarat malam tadi yang dipengerusikan sendiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berlangsung kira-kira dua jam di ibu pejabat parti itu di sini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, mesyuarat MKT malam tadi juga bersetuju untuk menganjurkan Konvensyen Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri bermula Januari 2024, bertujuan mempertingkat kesefahaman dan kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“UMNO pada 6 Januari depan akan mengadakan Kolokium Khas Bersempena Kongres Ekonomi Bumiputera yang bakal membentangkan hala tuju dan tawaran ekonomi baharu untuk umat Melayu di negara ini,” katanya.

Loading...
Terkini