SHAH ALAM: UMNO Selangor sudah memutuskan kerusi yang ingin ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebagai antara persediaan awal parti itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berkata Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, juga sudah dimaklumkan mengenai bayangan jumlah kerusi yang ingin ditandingi UMNO Selangor.
“Angka (jumlah kerusi) tidak perlu saya maklumkan sekarang, selepas ia dipersetujui, maka itulah keputusan yang kita patuhi.
“Saya juga sudah meminta Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman untuk memanggil mesyuarat Barisan Nasional (BN).
“Menerusi mesyuarat itu, kita akan maklumkan kerusi yang kita sudah perhalusi dan dipersetujui oleh UMNO untuk dibawa serta diputuskan di peringkat BN pula,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Bangunan UMNO Selangor, di sini, hari ini.
Beliau berkata, selepas perbincangan bersama parti komponen BN selesai, perbincangan akan diteruskan bersama kepemimpinan Pakatan Harapan (PH).
Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain berkata, walaupun tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU lalu, jumlah undi yang diterima masih tinggi terutamanya di kawasan majoriti Melayu.
Justeru, katanya, aspek jumlah undi perlu ada dalam asas rundingan bagi pembahagian kerusi.
Sementara itu, beliau memaklumkan Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Selain itu, Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar; Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz dan Ketua Penerangan UMNO Selangor, merangkap Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, menyatakan keinginan untuk bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.