Tumpuan :
Politik

UMNO Sepang Sokong Ismail Sabri Calon Perdana Menteri

SEPANG : UMNO Bahagian Sepang sebulat suara meluluskan usul menyokong keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri Ke-10 dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sokongan itu satu daripada usul yang dipersetujui sebulat suara pada Mesyuarat UMNO bahagian berkenaan di Kolej MARA Banting, dekat sini hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said, berkata bahagian berkenaan juga menyokong segala usaha kerajaan pimpinan Ismail Sabri yang memberikan keutamaan kepada transformasi kerajaan menuju peralihan ke fasa endemik.

Pada masa sama, katanya, UMNO Sepang menyerahkan kepada ‘top 5’ parti untuk memuktamadkan calon Perdana Menteri selepas PRU15.

“Kami menyokong usul Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri dan ‘poster boy’ pada PRU15,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan UMNO bahagian itu.

Noorazli berkata, keputusan memilih Ismail Sabri itu adalah kesinambungan daripada apa yang diputuskan dalam mesyuarat MKT UMNO sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, bahagian berkenaan sudah menyerahkan lima nama, termasuk namanya dan seorang wanita kepada UMNO Selangor untuk dipertimbangkan sebagai calon mewakili BN bagi kerusi Parlimen Sepang.

Katanya, BN Sepang bertekad merampas semula kerusi Parlimen itu selepas tewas pada PRU14.

“Kita sudah bersedia sejak 2018 dan turut mendapat kerjasama penuh parti komponen, MCA dan MIC,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini