Tumpuan :
Politik

UMNO Sabah minta polis perketat keselamatan di Menara Kinabalu pada 31 Disember

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin

KOTA KINABALU: UMNO Sabah meminta polis memperketat langkah keselamatan susulan timbul ura-ura dua perhimpunan aman akan dianjurkan pada 31 Disember ini di hadapan Menara Kinabalu yang menempatkan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata jika berlaku pertembungan dua perhimpunan anjuran kumpulan berlainan di tempat dan pada masa sama itu, dibimbangi boleh mencetuskan insiden tidak diingini sekiranya terjadi provokasi tidak terkawal.

Justeru, beliau berkata, pihak berkuasa perlu menilai implikasi keselamatan yang mungkin berlaku jika dua kumpulan terbabit dibiar mengadakan perhimpunan serentak di lokasi sama.

“Saya ingin menegaskan sekiranya benar seperti yang dipaparkan dalam media sosial dan sidang akhbar bahawa terdapat dua perhimpunan atau berkaitan sedang dirancang berlangsung di kawasan dan masa sama pada 31 Disember ini di hadapan PPNS, perkara ini perlu diberikan perhatian serius walaupun ia dirancang sebagai perhimpunan aman.

“Situasi seperti ini berpotensi mencetuskan ketegangan antara dua kumpulan yang berhimpun, sekali gus membuka ruang kepada provokasi melampau yang berkemungkinan boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Saya memahami bahawa kedua-dua perhimpunan itu mempunyai matlamat masing-masing dan membawa mesej penting untuk rakyat, namun semua pihak harus menilai dari setiap aspek, termasuk implikasi terhadap keselamatan serta kestabilan Sabah.

“Justeru, saya menggesa pihak polis meneliti perkara ini secara mendalam serta mengambil langkah proaktif bagi mengelak sebarang kemungkinan tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sebelum ini, media melaporkan sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menggelar diri mereka sebagai Suara Mahasiswa UMS, merancang untuk menganjurkan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah.

Satu lagi kumpulan yang menamakan diri sebagai Gerakan Bangkit Sabahan pula dilaporkan merancang penganjuran Himpunan Bangkit Sabahan Pertahankan Hak Sabah, Kami Bersama Hajiji.

Kedua-dua perhimpunan yang dihebahkan melalui media sosial itu dirancang diadakan di hadapan Menara Kinabalu bermula jam 2 petang 31 Disember ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini