Oleh Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Jentera UMNO Sabah sedia membantu kempen pilihan raya di enam negeri di Semenanjung, yang dijadualkan pada 12 Ogos depan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata sebagaimana diamanahkan oleh UMNO Pusat, tumpuan jentera UMNO Sabah adalah bagi membantu kempen di Selangor.
“Jentera UMNO Sabah juga sedia membantu berkempen di negeri lain sekiranya ada yang memerlukan. Dengan kekuatan yang ada, jentera UMNO Sabah bersedia untuk berjuang, dalam memastikan kemenangan berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan.
“Bilangan pemimpin dan jentera UMNO Sabah (bantu kempen) akan diputuskan selepas perbincangan dilakukan dengan barisan pimpinan UMNO negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu, dijalankan serentak pada 12 Ogos manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal 8 Ogos.
Bung Moktar berkata UMNO Sabah akan melakukan usaha kempen yang terbaik dan berkesan, seperti pengalaman semasa membantu kempen PRN Melaka dan Johor, sebelum ini.
“Kita akan bergerak berkempen dari rumah ke rumah, mengurangkan kempen secara perhimpunan kerana kempen rumah ke rumah walaupun di Selangor ini kawasannya agak luas namun lebih berkesan,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata UMNO Sabah mempunyai jumlah keanggotaan seramai 583,979 orang.