comscore
Tumpuan :
Politik

UMNO perlu perbaiki kelemahan dari dalam, bermula dengan pemimpin

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

Oleh: Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: UMNO perlu memperbaiki kelemahan parti itu dari dalam, bermula dengan pemimpinnya di setiap peringkat, sama ada nasional, negeri dan bahagian.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, usaha itu bukan terletak kepada satu kumpulan sahaja, namun kepada seluruh infrastrukturnya.

“Kita bermula daripada cawangan, bahagian, negeri dan pusat. Ini semua kena memainkan peranan untuk memastikan bahawa masyarakat di luar sana dapat melihat UMNO sebagai sebuah parti yang sudah belajar daripada kesilapan.

“Pasal kesilapan kita yang bergaduh sesama sendiri, sehingga masing-masing tidak puas hati. Kemudian pergi buka parti lain, pergi masuk parti lain.

“Perkara ini kita kena pastikan tidak boleh lagi berlaku pada masa akan datang,” katanya ketika ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa, di Pusat Dagangan Dunia di sini.

Tambahnya, selaku Ahli Parlimen Titiwangsa, usaha yang perlu dilaksanakan UMNO itu juga bukannya mengambil masa yang singkat.

“Mungkin manfaat ini kita tidak akan dapat lihat hasilnya dalam masa pendek. Dia mungkin mengambil masa (panjang).

“Tetapi perubahan itu perlu berlaku sedikit demi sedikit supaya ia dapat meyakinkan semula orang kepada kita.

“Masyarakat apabila hilang keyakinan, dia hendak tengok kita melakukan sesuatu benda yang membawa perubahan,” katanya.

Justeru, tegas Johari, UMNO perlu meningkatkan reputasi dan kredibiliti.

“Rakyat hendak tengok kita lahirkan ramai pemimpin muda kehadapan, untuk menjaga parti ini. Itu yang saya tekankan.” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini