Oleh: Kumaran Rajamoney
IPOH: Badan Perhubungan UMNO negeri Perak akur dengan ketetapan pihak berkuasa untuk tidak meneruskan Himpunan Solidariti yang dirancang pada 6 Januari ini, bagi menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pengerusinya Datuk Seri Saarani Mohamad dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu adalah bagi mendukung kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu serta menjunjung kedaulatan dan keluhuran undang-undang.
“UMNO Negeri Perak menaruh keyakinan terhadap kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam mempertimbangkan rayuan terhadap kes Datuk Seri Najib, supaya pemimpin yang banyak berjasa kepada negara itu mendapat sebaik-baik keadilan.”
“Sehubungan itu, Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menyokong pendirian Ibu Pejabat UMNO agar semua tindakan berkaitan kes Datuk Seri Najib diselesaikan melalui saluran undang-undang yang sah, sejajar dengan titah Tuanku yang menganjurkan penghormatan kepada proses perundangan negara,” katanya.
UMNO Perak tambahnya menjunjung kasih atas titah Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif Baginda memberi pengampunan, menangguhkan hukuman, dan meringankan hukuman bagi kesalahan seperti yang digariskan di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Pada Jumaat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang ramai untuk tidak menyertai sebarang perhimpunan dan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif Seri Paduka Baginda.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki kemudiannya mengumumkan, parti itu membatalkan Himpunan Solidariti yang dijadualkan Isnin ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.