Tumpuan :
Politik

UMNO mahu rampas kerusi parlimen Kuala Terengganu

Pengerusi UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said

KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) negeri bersiap sedia merampas semula kerusi parlimen Kuala Terengganu jika proses pengundian untuk kerusi itu diadakan serentak dengan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Said berkata pihaknya optimis memenangi semula kerusi itu asalkan PAS tidak menggunakan politik wang seperti pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) November lalu.

“Kita akan akur dan bersedia dengan ketetapan tarikh pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu akan diputuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya hari ini.

Ahmad yang juga bekas Menteri Besar berkata demikian ketika mengulas keputusan PAS untuk tidak mengemuka rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan yang membatalkan kemenangan calon parti itu, Datuk Ahmad Amzad Hashim pada 27 Jun lalu.

Pada PRU15 November lalu, Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperolehi majoriti sebanyak 40,907 undi.

Beliau sebelum itu adalah pemegang kerusi itu sejak PRU14 dengan majoriti 14,773 undi menewaskan tiga calon lain termasuk BN, Datuk Wan Nawawi Ismail dan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (PH).

Mahkamah Pilihan Raya negeri memutuskan membatalkan kemenangan Ahmad Amzad selepas UMNO menfailkan petisyen atas dakwaan parti itu menyogok pengundi.

Mahkamah Pilihan Raya memberi tempoh 14 hari kepada Ahmad Amzad dan PAS untuk mengemuka rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, PAS memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan.

Loading...
Terkini