KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan melakukan proses introspeksi atau proses penilaian diri secara menyeluruh susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata parti itu perlu memfokuskan kepada prestasi khidmat dan kerja dalam urusan pentadbiran serta pengurusan negara, termasuk aspek ekonomi.
“Bagi pentadbiran di peringkat Persekutuan, biarlah rakyat menilai prestasi, di samping negeri di bawah Kerajaan Perpaduan termasuk tiga negeri yang berjaya dikekalkan dalam PRN kali ini,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Pada PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding di 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun hanya menang 19 daripadanya.
Pada masa sama, Asyraf Wajdi berkata, kerjasama jentera parti BN dan PH dilihat semakin baik walaupun hanya mula berputik empat bulan lalu.
“Terima kasih buat semua jentera parti dari seluruh negara yang berkampung lebih dua minggu di enam negeri dalam PRN yang berakhir semalam.
“Sesungguhnya pengorbanan dan kerja kuat semua amatlah dihargai dan hanya Allah SWT sahajalah yang mampu membalas segalanya dengan limpahan rahmat dan keberkatanNya juga.
“Alhamdulillah, kita terima segala ketentuan Allah SWT atas keputusan PRN dengan lapang dada dan penuh keinsafan, yang menang tak menang semua yang kalah tak kalah semua,” katanya.