comscore
Tumpuan :
Politik

UMNO jangan lalai dalam kuasa bersama Kerajaan Perpaduan

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: UMNO tidak boleh sesekali lalai dalam kuasa bersama Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Sebaliknya, Timbalan Presiden UMNO , Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebagai parti tunjang Melayu, pimpinan mahu pun ahlinya tidak perlu hidup dalam penafian kerana kuasa yang dimiliki ini hanyalah pelengkap kepada kerajaan dan bukannya berkuasa sepenuhnya.

“Janganlah dek kerana kita ada perkongsian kedudukan dalam kerajaan, lalu kita lalai dalam tanggungjawab kita, merawat dan memulihkan keyakinan bangsa terhadap UMNO.

“Justeru, usaha memulihkan kepercayaan ini, mesti kita giatkan. Kita tidak berkuasa sepenuhnya kita waktu ini hanya pelengkap kepada kerajaan perpaduan.

“Pastinya tiada jalan mudah, untuk menawan kembali nurani bangsa Melayu. Ia akan mengambil masa,” katanya.

Menurut beliau adalah penting untuk UMNO mengembalikan kepercayaan kepada rakyat khususnya kaum Melayu dengan mengembalikan kesatuan UMNO sebagai sebuah parti.

“UMNO perlu kukuh bersatu dari dalam dan ahli juga harus kekal setia kepada parti.Keyakinan orang Melayu kepada UMNO, Insya-Allah akan berputik, apabila kita dilihat sebagai satu ketumbukan politik yang kemas, dalam kerjasama dan persefahaman kita”, katanya.

UMNO pada waktu ini, jelas beliau telah berjaya menampilkan kesatuan dalam parti.

“UMNO kini sedang melalui fasa yang tenang kita telah berjaya meredakan segala anasir yang ingin memecah belahkan parti. Kepimpinan UMNO jelas dengsn fokusnya, dalam kerajaan dan menunjukkan prestasi yang pada pandangan saya memberangsangkan. Oleh yang demikian, kita mesti mengelakkan segala bentuk perseteruan dalam parti, ” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini