comscore
Tumpuan :
Politik

UMNO jangan jadi penumpang

Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – FOTO: FMT

KUALA LUMPUR: UMNO diingatkan jangan sekadar menjadi penumpang kerana parti itu harus ke depan untuk memimpin, bukannya dipimpin.

Teguran itu dilontarkan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas beliau hadir untuk meneliti ucapan pembahas pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.

Katanya, pembahas menzahirkan tekad untuk kembali bangkit berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.

“Tekad harus dibulat bukan hanya sekadar menjadi penumpang tetapi perlu bangkit kembali menerajui kepimpinan negara.

UMNO perlu menerajui bukannya pelengkap untuk menubuhkan kerajaan.

Cukuplah memuja dan memuji orang lain kerana UMNO adalah parti yang berpengalaman dan mempunyai asas perjuangan yang amat jelas demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu senada dengan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh supaya kepimpinan sekarang menjemput kembali pemimpin parti yang dipinggirkan sebelum ini.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri, ini kerana dalam kalangan pemimpin terbabit mereka mempunyai pengalaman dan masih ada pengaruh untuk memperkasakan parti.

“Jadi berhenti mengeluarkan kenyataan yang menyindir dan menyakitkan hati sahabat-sahabat kita. Semoga UMNO gagah seperti dulu kala,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini