comscore
Tumpuan :
Politik

UMNO intai bertanding kerusi ‘runner-up’, formula jadi parti utama semula

Ahmad Zahid menyantuni ahli UMNO pada Majlis Perasmian Persidangan Berkelompok Tahunan UMNO Cawangan-Cawangan Empat Peringkat dalam Bahagian Bagan Datuk di Kompleks UMNO, di Bagan Datuk hari ini. – FOTO: NSTP

BAGAN DATUK: UMNO mahu merampas kembali kerusi parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) yang calonnya sebelum ini tewas di kedudukan kedua bagi menjadi parti utama pada pilihan raya umum (PRU) ke-16.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata itu antara formula yang akan digunapakai oleh UMNO untuk menambah dominasi parti itu di Dewan Rakyat berbanding hanya sejumlah 26 ahli parlimen ketika ini.

“Walaupun kita jadi kerajaan negeri di Johor, Melaka, Pahang dan Perak, namun UMNO pernah dominan. Walaupun kita bersama parti dalam Kerajaan Perpaduan, namun tentunya UMNO berazam untuk meraih kemenangan lebih daripada apa yang diperolehi.”

“Kita merasakan ada beberapa pendekatan terutamanya di kawasan parlimen dan DUN yang kita kalah (pada PRU dan PRN), tetapi kita berada di kedudukan kedua, maka formula ini mungkin boleh dibincang, digunakan dan diselesaikan oleh parti-parti lain dalam komponen Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Berkelompok Tahunan UMNO Cawangan-Cawangan Empat Peringkat dalam Bahagian Bagan Datuk di Kompleks UMNO, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata jumlah sasaran kerusi yang akan ditandingi oleh UMNO hanya akan diumumkan menjelang PRU-16 yang berbaki lebih tiga tahun lagi.

Menurut beliau, keutamaan UMNO ketika ini adalah menyusun jentera serta memperkukuh penyatuan dalam kalangan ahli di semua peringkat termasuk akar umbi supaya kekuatan UMNO berjaya dibina semula.

“Biarlah apabila tiba masanya, saya akan memberitahu berapa kerusi yang akan kita (UMNO) bertanding,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid memaklumkan tiada satu pun daripada hampir 22,000 cawangan UMNO di seluruh negara dibubarkan.

Jelasnya, hal itu membuktikan dokongan ahli di peringkat akar umbi kepada kepimpinan parti.

“Jumlah ahli semakin bertambah biar pun kita melakukan pemutihan terhadap ahli yang meninggalkan parti.”

“Di Sabah umpamanya, saya diberitahu bahawa terdapat antara 2,500 sehingga 5,000 orang menghantar permohonan keahlian setiap sebulan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini