HULU SELANGOR: UMNO Bahagian Hulu Selangor mengorak langkah turun padang ke setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam usaha memastikan calon Barisan Nasional ( BN) dan Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak lama lagi.
Ketua bahagian, Datuk Mohd Isa Abu Kasim, berkata, program ‘Road To PRN’ anjuran Biro Penerangan UMNO bahagian akan menjelajah ke seluruh PDM di parlimen Hulu Selangor.
Katanya, program itu membabitkan 50 PDM dan dimulakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali.
“Program ini bertujuan memberi penerangan kepada pimpinan akar umbi di PDM tentang peranan dan kelebihan serta manafaat Kerajaan Perpaduan yang terbentuk di peringkat kerajaan persekutuan. Kita mahu pimpinan akar umbi mendapat maklumat dengan jelas dan faham pembentukan Kerajaan Perpaduan antara BN-PH serta tidak mudah terpengaruh dengan dakyah atau hasutan daripada pihak yang tidak sukakan pakatan berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Berkaitan persiapan PDM, Mohd Isa berkata, UMNO bahagian telah melantik 35 Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) daripada 50 PDM di ketiga-tiga DUN.
“Pelantikan ketua PDM UMNO membabitkan 19 PDM di DUN Batang Kali dan 16 PDM pula di DUN Kuala Kubu Bharu.
“Baki 15 PDM lagi di DUN Hulu Bernam masih lagi dalam proses dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, ketua PDM memainkan peranan cukup besar kerana di dalam PDM mempunyai lebih daripada satu cawangan yang perlu diurus dan dikelola pada hari pengundian.
Semua ketua PDM UMNO akan diberi taklimat khas PRN supaya gerak kerja pada hari pengundian dapat diuruskan dengan cekap bagi memastikan semua calon BN dan Pakatan Harapan (PH) menang di Selangor.