Tumpuan :
Politik

UMNO Hang Tuah Jaya Sokong Ismail Sabri Calon PM

Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya di Ayer Keroh, malam tadi.

MELAKA: UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya yang bermesyuarat malam tadi, meluluskan tujuh usul, termasuk menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri Ke-10.

Ketua UMNO bahagian, Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, berkata sokongan itu membolehkan Naib Presiden UMNO berkenaan meneruskan tugas sebagai ketua kerajaan bagi memastikan agenda membela rakyat sentiasa dilaksanakan.

Katanya, ia juga sokongan tidak berbelah bahagi terhadap keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini yang menamakan Ismail Sabri sebagai `poster boy’ bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, 490 perwakilan yang hadir pada persidangan bahagian turut menyokong usul supaya calon UMNO dikekalkan mewakili Barisan Nasional (BN) untuk bertanding kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya.

“Ini kerana jumlah pengundi Melayu yang menjadi majoriti di kawasan ini membolehkan BN merampas kembali kerusi terbabit daripada Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 nanti.

“Kita sudah dan terus bekerja demi menebus semula kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya ini dan memastikan kemenangan calon kita dapat menyumbang kepada BN bagi membentuk kerajaan Persekutuan pada PRU kali ini.

“Kami melihat hanya calon UMNO yang dapat membantu ke arah misi kemenangan ini dengan kerjasama seluruh jentera parti komponen, termasuk MCA dan MIC serta rakan BN lain,” katanya hari ini.

UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya turut memohon supaya kerajaan negeri merancang dan membangunkan Bandar Baharu Bumiputera dalam kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya dengan cadangan awal di kawasan tanah milik FELDA di Ayer Keroh, di sini.

Mohd Ridhwan berkata, UMNO Hang Tuah Jaya turut meminta semua jentera parti bersiap sedia serta memberikan tumpuan kepada usaha memenangkan calon BN pada PRU kali ini.

Selain itu, memastikan wujudnya wujudnya keharmonian hubungan, solidariti dan kesatuan fikrah perjuangan di antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Perdana Menteri, ahli MKT serta barisan kepemimpinan parti semua peringkat dalam berdepan PRU15.

UMNO bahagian itu turut mendesak supaya kehendak rakyat dapat diberikan perhatian, selain menyokong segala usaha pemulihan dan pembangunan ekonomi yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Ia termasuk merealisasikan Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi memacu ekonomi negara yang lebih berdaya saing demi kepentingan rakyat.

“Kami juga mengesyorkan kerajaan supaya sistem kehakiman dan perundangan negara dikaji semula dan ditambah baik, mempertingkatkan amalan integriti serta memisahkan kuasa yang jelas di antara peguam cara dan pendakwa di Pejabat Peguam Negara.

“Selain itu, memberi seluas-luas peluang dan ruang kepada individu yang didakwa dan pembelaan untuk mengemukakan bukti serta mempertahankan hak individu sebagai warganegara Malaysia,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini