
JOHOR BAHRU: UMNO disarankan supaya tidak lagi meletakkan calon yang kalah serta berusia 45 tahun ke atas dalam pilihan raya akan datang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata parti berkenaan memerlukan naratif baharu yang sampai kepada pengundi bagi menarik perhatian mereka.
“Sekali lagi UMNO berhadapan ujian berat. Menang 19 sahaja daripada 108 kerusi yang ditandingi.”
“UMNO semakin hilang sokongan orang Melayu.”
“Bukan mudah untuk UMNO mencari formula baru, tetapi UMNO jangan panik seperti mahu tinggalkan Kerajaan Perpaduan. Fokus agenda ekonomi rakyat dan ekonomi negara.”
“Mereka yang kalah dan berumur 45 tahun ke atas jangan bertanding lagi di pilihan raya akan datang.”
“Jawatan parti bukan tiket percuma jadi calon. Tampilkan ayam sabung tulen.”
“Menteri UMNO mesti ‘deliver’. Elak rakyat meluat pada tingkah laku UMNO. Parti perlu naratif baru yang sampai kepada pengundi,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini.
Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) berjaya menguasai tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pada pilihan raya negeri (PRN) berakhir semalam.
Di Negeri Sembilan, gabungan PH-BN memperoleh 31 daripada keseluruhan 36 kerusi yang dipertandingkan di negeri itu.
Pulau Pinang, 29 daripada 40 kerusi manakala di Selangor, PH-BN menang 34 kerusi daripada 56 yang dipertandingkan.