Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: UMNO belum menerima sebarang permohonan bekas ahlinya yang digantung keahlian untuk menyertai semula parti itu, setakat ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang permohonan akan dibawa kepada Jawatankuasa Pengurusan parti untuk pertimbangan.
“Setakat ini tidak ada permohonan (bekas ahli) jadi kita pun akan bawa kepada Jawatankuasa Pengurusan (UMNO) sekiranya ada permohonan.
“Ia kemudian akan dibentangkan di (mesyuarat) Majlis Kerja Tertinggi (MKT) jika ada (permohonan),” katanya yang ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulan Disember 2024 dan Sambutan Hari Inovasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ditanya sama ada UMNO ada menerima permohonan daripada bekas ahlinya yang mahu menyertai semula parti berkenaan setelah digantung keahlian.
Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan sedia membuka kembali ruang terhadap bekas pimpinan UMNO yang sebelum ini berdepan dengan tindakan penggantungan.
Antaranya, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dan juga bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang digantung keahlian selama enam tahun sejak Januari tahun lalu.
Pada 25 November lalu, MKT UMNO sebulat suara membuat keputusan menarik semula penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkuat kuasa serta-merta.
Tajuddin sebelum ini digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti, antara lain berkait tempoh masa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sementara itu, Ahmad Zahid menyifatkan Shahril sebagai tidak lagi relevan susulan kenyataannya yang mendakwa Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu hanya mahu menjadi hero dengan membawa naratif mengenai ada usaha memujuk BN meninggalkan Kerajaan Perpaduan.
“Beliau tidak lagi relevan,” katanya ringkas.
Sebelum ini, Ahmad Zahid mendedahkan, ada usaha memujuk BN untuk keluar Kerajaan Perpaduan dengan menawarkan jawatan Perdana Menteri.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.