KUALA NERANG : Usul menyokong Datuk Seri Ismail Sabri terus menerajui kepemimpinan negara sebagai Perdana Menteri adalah keputusan peringkat UMNO bahagian, tanpa paksaan atau arahan daripada mana-mana pihak.
Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata usul itu adalah suara akan umbi di peringkat bahagian, termasuk Bahagian Padang Terap yang membawa usul itu tanpa bahas pada mesyuarat perwakilan, semalam.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, berkata usul Datuk Seri Ismail Sabri menjadi poster boy dan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah berasaskan kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, yang bersetuju meletakkan beliau sebagai calon Perdana Menteri.
“Perkara ini tidak ada arahan, ia terpulang kepada UMNO bahagian masing-masing.
“Jadi, semalam itu, bahagian ambil inisiatif sendiri, kita sealiran dengan keputusan MKT UMNO,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang, di sini, hari ini.
Terdahulu, UMNO Bahagian Padang Terap meluluskan usul menyokong penuh Ismail Sabri untuk terus menerajui kepemimpinan negara sebagai Perdana Menteri.
UMNO bahagian itu turut meluluskan usul memberi kepercayaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepemimpinan menyusun strategi memperkukuhkan UMNO
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, usul itu tidak menimbulkan sebarang konflik dengan Ahmad Zahid berikutan perkara itu hasil persetujuan Ahmad Zahid sendiri yang menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.
Ditanya mengenai sasaran untuk memenangi kerusi di Parlimen Kedah pada PRU-15, beliau berkata, pihaknya yakin akan menang lebih daripada dua kerusi Parlimen yang disandang ketika ini.
“Pada PRU-14, kita menang dua kerusi Parlimen di Kedah. Kita ada keyakinan untuk menang lebih daripada dua tapi sasaran itu, saya tak boleh beritahu sekarang,” katanya. – BERITA HARIAN