JOHOR BAHRU: UMNO akan ‘mati’ dalam hati orang muda dalam tempoh 10 tahun lagi jika parti itu tidak berani berubah.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ia adalah realiti kepada nasib UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 nanti jika parti itu masih dibuai dengan cara pemikiran lama.
Katanya dunia dan lanskap politik sudah banyak berubah.
“Pengundi muda bakal mendominasi cita rasa dan pilihan selepas PRU-15. Bermula PRU-16, pengundi matang UMNO hanya tinggal berapa kerat sahaja lagi.
“UMNO kena lakukan perubahan daripada sekarang, buat peremajaan bermula dari PRU-15 ini. Masih belum terlambat untuk perubahan dilakukan jika kita bertindak segera.
“Tambahan pula pada PRU-15 nanti, dijangka lebih 4 juta pengundi berusia 18 tahun sudah didaftarkan secara automatik. Mereka ini bakal menjadi suara baharu dan dominan pada PRU akan datang.
“Jika UMNO ingin memenangi hati pengundi muda dan baru ini, UMNO perlu melaksanakan perubahan dari pelbagai aspek merangkumi perubahan pemikiran, pendekatan, kepimpinan dan calon PRU-15 nanti,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Nur Jazlan, beliau menyokong kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor bulan lalu, yang meminta kepimpinan BN negeri itu memberi peluang kepada muka baharu dan golongan profesional sebagai calon dalam usaha merampas kembali Selangor daripada Pakatan Harapan (PH).
Katanya saranan itu sebenarnya bukan untuk BN Selangor saja tapi juga untuk semua BN negeri-negeri lain.
“Zahid, golongan ‘warlord’ BN sebagai orang politik perlu berjiwa besar untuk menerima kelompok profesional dan orang muda sebagai calon-calon PRU-15 nanti.
“Kalaulah pandangan Presiden UMNO itu boleh diterima dengan hati terbuka atas semangat mengutamakan perjuangan parti, saya percaya masa depan UMNO/BN bertambah cemerlang di masa akan datang.
“Secara jelasnya pengundi muda hari ini sudah tidak hairan dengan cara politik lama dan penuh dengan retorik perjuangan demi bangsa dan agama.
“Orang muda lebih tertarik kepada politik ‘movement based’ yang bermula dalam skala kecil tapi menarik cita rasa mereka sama ada bertentangan dengan budaya atau undang-undang semacam sudah jadi amalan biasa sekarang ini.
Jelas Nur Jazlan, UMNO perlu merehatkan lebih ramai ‘kuda tua’ atau pemimpin veteran parti terutamanya mereka yang tiada lagi hati untuk berjuang atau bersama ketetapan parti.
Katanya berilah peluang kepada calon muda untuk meneruskan legasi perjuangan UMNO.
“Takkanlah kita mahu melihat lagi ada calon tua yang seusia dengan UMNO masih hendak bertanding. Sudah cukup sudah kesempatan dan peluang diberikan kepada orang-orang lama ini untuk jadi pemimpin. Biarlah pemimpin pelapis pula pikul tanggungjawab untuk memimpin UMNO di masa depan,” katanya. -Berita Harian