SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengingatkan umat Islam tidak terjerumus dalam perbuatan mengumpat dan mencaci yang dilihat semakin ketara menjelang pilihan raya.
Baginda bertitah perbuatan itu bukan saja menjatuhkan maruah diri, malah mengundang kepada sengketa serta permusuhan berpanjangan hingga menjejaskan keharmonian hidup bermasyarakat.
Titah baginda, perbuatan mengumpat, mencela, mencaci, memaki hamun apatah lagi memfitnah amat berbahaya yang mana ia tergolong dalam dosa besar yang lebih buruk daripada membunuh.
“Menerusi pemerhatian, fitnah dan mencaci ini menjadi lebih ketara dan dilakukan tanpa rasa takut serta malu kepada Allah SWT setiap kali menjelang pilihan raya. Ia seolah-olah musim menjelang pilihan raya adalah pesta yang menghalalkan mencaci maki, mengumpat dan memfitnah antara satu sama lain demi meraih sokongan dan undi daripada rakyat,” titah baginda menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, .
Baginda juga pernah berpesan ketika pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 19 Jun lalu bahawa isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja tidak seharusnya diheret bagi dijadikan bahan berkempen.
Baginda menegaskan perkara ini supaya perbalahan dan pertelingkahan dalam kalangan umat Islam tidak berlaku dan hubungan antara kaum di negara ini tidak terjejas, selain bimbang jika amalan memfitnah serta caci-mencaci ini tidak dibendung, perpecahan umat Islam khususnya di Selangor akan menjadi semakin parah dan tidak terkawal.
Sultan Selangor turut menegaskan Islam amat mengutamakan keharmonian hidup bermasyarakat dan menekankan umatnya untuk sentiasa berbaik dan bertoleransi dengan orang bukan Islam mengikut lunas, batas dan akhlak Islam.
Titah baginda, Perlembagaan Persekutuan menjamin Islam sebagai agama Persekutuan dan ia akan tetap terpahat dan tidak boleh digugat oleh mana-mana pihak.
“Raja dan Sultan pula berperanan sebagai ketua agama bagi negeri-negeri dan mestilah dihormati dan ditaati sama ada suka atau sebaliknya selagi mereka patuh kepada perintah Allah SWT serta tidak menyuruh melakukan maksiat.
“Sultan adalah payung yang melindungi rakyat di bawah naungannya dan undang-undang negara kita juga memperuntukkan kesalahan bagi mereka yang melakukan fitnah, penghinaan kepada institusi raja serta mencetuskan perbalahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini seperti Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia,” titah baginda.
Oleh itu, baginda mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati dalam apa yang diperkatakan dan jangan sampai menjadi bak kata Pepatah Melayu, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.
“Sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN), semua calon dan penyokong diingatkan tempoh berkempen bukanlah lesen untuk mengumpat, mencela, mencerca, menghina dan memfitnah orang lain dengan bebas,” titah baginda.