KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menunggu laporan rasmi dari pejabat Peguam Negara berhubung status empat Ahli Parlimen Sabah yang mengumumkan keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), baru-baru ini.
Beliau berkata, ini kerana keputusan muktamad mengenai perkara itu terletak kepada Speaker Dewan Rakyat berdasarkan perkara 49a Perlembagaan Persekutuan.
“Saya (perlu) tunggu laporan rasmi dan pandangan undang-undang daripada jabatan peguam negara. kedua, saya rasa dalam perkara 49a (perlembagaan persekutuan), keputusan muktamad adalah terletak kepada speaker dalam masa 21 hari selepas notis diberikan kepada beliau.
“Bagaimanapun, dalam pindaan perlembagaan itu (berkaitan akta perlembagaan (pindaan) (no.3) 2022 atau akta a1663, diletakkan beberapa syarat untuk membuat kepastian, jadi ia di luar bidang kuasa saya untuk memberikan komen,” katanya.
Azalina berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penutup forum Hari Hak Asasi Manusia 2022 bertemakan ‘Strengthening and enhancing human rights towards leaving no one behind’ di sini, hari ini.
Kelmarin, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pemimpin BERSATU Sabah membuat keputusan sebulat suara untuk keluar daripada parti itu, namun kekal di bawah GRS.
Empat Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Matbali Musah (Sipitang), Datuk Armizan Mohd Ali, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Papar), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi).