Tumpuan :
Politik

Tokoh agamawan dan teknokrat angkat sumpah sebagai Menteri Besar & Timbalan MB Kelantan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti, Datuk Mohd Nassuruddin Daud mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan . – Foto : NSTP

KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti Datuk Nassuruddin Daud mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan yang baharu, hari ini.

Manakala ADUN Temangan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Besar, sekali gus melengkapkan gandingan tokoh agamawan dan teknokrat dalam dua jawatan tertinggi negeri itu.

Mereka mengangkat sumpah jawatan jam 5.30 petang di hadapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Negeri, Kubang Kerian.

Istiadat disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Roslan Abu Bakar; Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Yakub; Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Ketua Hakim Syarie Kelantan, Ibrahim Deris.

Nassuruddin (kiri) dan Mohamed Fadzli adalah gandingan tokoh agamawan dan teknokrat. Foto : NSTP

Nassuruddin adalah Menteri Besar Kelantan ketiga selepas PAS mengambil alih Kelantan pada 1990.

Sebelum ini Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Ahmad Yakob.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, Nassuruddin mempertahankan kerusi DUN Meranti selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Zahri Omar dengan majoriti 9,154 undi.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri itu mempertahankan kerusi berkenaan sejak 1999.

Nassuruddin yang mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Mesir adalah Ketua Penerangan PAS Kelantan dan turut digelar Panglima Perang PAS Kelantan.

Mohamed Fadzli pula menggantikan Mantan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.Timbalan Pesuruhjaya III PAS negeri itu mempertahankan kerusi DUN Temangan sejak 2008 iaitu selama tiga penggal.

Mohamed Fadzli adalah lepasan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan lepasan Doktor Falsafah di Universiti of Birmingham, United Kingdom.

Loading...
Terkini