comscore
Tumpuan :
Politik

Tiga Lagi MP, Dua ADUN Akan Sertai PBM – Zuraida

Foto: BERITA HARIAN

JOHOR BAHRU: Tiga lagi Ahli Parlimen (MP) dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) didakwa akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mendedahkan demikian, Presiden Pengganti PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata penyertaan mereka nanti akan menjadikan tujuh kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN disandang parti itu yang akan dipertahankan pada PRU akan datang.

“Insya-Allah, saya sudah katakan PBM akan bertanding tujuh kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN, semuanya melibatkan calon ‘incumbent’ (penyandang). Insya-Allah kita sasar tujuh kerusi Parlimen dan tujuh DUN.

“Sekarang ada empat (kerusi Parlimen), insya-Allah akan ada (tambah) lagi tiga. Sama juga dengan ADUN, sekarang sudah ada lima, iaitu tiga di Perak, dua di Selangor dan insya-Allah, dua lagi akan datang,” katanya namun tidak mendedahkan identiti lima wakil rakyat terbabit.

Memberitahu demikian pada sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat PBM Johor, di sini hari ini, beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti tiga Ahli Parlimen dan dua ADUN terbabit.

Ketika ini, PBM diwakili Zuraida sendiri mewakili Parlimen Ampang, selain Larry Sng (Julau), Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau) dan Datuk Dr Mohamadin Ketapi (Lahad Datu) di Dewan Rakyat.

Lima ADUN parti itu pula adalah dua di Selangor, iaitu Haniza Talha (Lembah Jaya) dan Dr Daroyah Alwi (Sementa), selain tiga di Perak, iaitu Leong Cheok Keng (Malim Nawar), A Sivasubramaniam (Buntung) dan Paul Yong Choo Kiong (Tronoh).

Zuraida yakin lebih ramai akan mendaftar menjadi ahli PBM yang ditubuhkan sebagai parti berbilang kaum dan bermatlamat untuk mengubah landskap politik negara menjadi stabil dan harmoni.

“Sudah tiba masanya rakyat Malaysia dikenali dengan identiti Bangsa Malaysia dan bukan lagi mengikut latar belakang kaum dan ini adalah keunikan parti ini yang diterajui masyarakat berbilang kaum.

“Kita juga punya kepemimpinan daripada golongan berusia dan juga muda, menjadikan ini satu lagi kekuatan PBM. Walaupun masih baharu, tetapi lebih kuat daripada beberapa parti politik lain sedia ada,”katanya memaklumkan PBM kini memiliki lebih 40,000 ahli. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini