Oleh: Mohd Ishak Abdilah Ngah
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Barisan Nasional Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menegaskan tiada ‘poster boy’ dalam kalangan calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu.
Menurutnya, matlamat BN adalah untuk memastikan kemenangan terlebih dahulu dan kembali mentadbir negeri itu.
“Kita tidak ada ‘poster boy’ setakat ini kita guna lambang kita tu sahaja, yang penting biar menang dulu jangan ada angan-angan nak jadi Menteri Besar biar kita menang DUN masing-masing menang dengan majoriti yang besar dahulu dan kita serah kepada tuanku kerana itu adalah hak mutlak Sultan Terengganu untuk melantik siapa Menteri Besar,” katanya.
Ahmad Said berkata demikian selepas menyerahkan 27 watikah kepada calon untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu, 12 Ogos depan.
Susulan itu, 27 calon BN Terengganu yang diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sempena Majlis Pengumuman Calon BN PRN ke-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Jumaat lalu, tidak berubah.
Ketika melancarkan manifesto BN Terengganu kelmarin, Ahmad Said berkata, kesemua 27 calon BN Terengganu itu belum disahkan bertanding berikutan pihaknya perlu membuat rombakan dan pertukaran calon.
Keadaan itu menjadi antara punca majlis penyerahan watikah kepada calon yang sepatutnya dibuat kelmarin ditangguhkan sehingga jam 3.00 petang tadi.
Beliau amat mengharapkan pihak yang tidak tercalon akur dengan keputusan itu dan bekerjasama dalam sebuah parti untuk menang PRN negeri itu.
“Sebab itu saya kata kita perlu berjiwa besar dalam parti kalau takdir tidak ada nak buat macam mana, sama macam makanan letak dalam mulut pun jatuh lagi bukan rezeki lagi.
“Kita pertahankan parti mana tahu akan datang ada rezeki tercalon sebab itu calon-calon yang tak bertanding kita bekerjasama dengan calon yang bertanding, kita letak parti di hadapan terlebih dahulu,” ujarnya.