comscore
Tumpuan :
Politik

Tiada parti komponen, Friends of BN dipinggirkan – Ahmad Zahid

Foto: NSTP

SANDAKAN: Tiada parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Friends of BN dipinggirkan, malah semua disantuni dengan baik.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, semua parti komponen BN dan Friends of BN sentiasa melakukan sesi keterlibatan dan perbincangan bersama, mengenai pelbagai isu.

Malah beliau berkata, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang juga Naib Pengerusi BN, diberikan penghormatan berucap dan merasmikan Himpunan BN Sabah dan Konvensyen BN Sabah hari ini, membuktikan parti komponen itu penting untuk BN.

“Pilihan raya kecil dan pilihan raya umum yang lalu kerusi-kerusi juga telah diperuntukkan, walaupun tidak semua tetapi kita beri peluang kepada Friends of BN untuk bertanding. Soal penyantunan ini telah dilakukan.

“Kita tidak mahu pandangan atau tafsiran daripada rakan atau mereka di luar BN maka kita terjebak dalam komen negatif yang dibuat oleh mereka, kita jaga kita,” katanya pada sidang media selepas menutup Himpunan BN Sabah dan Konvensyen BN Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 BN di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Pengerusi BN, Datuk Arthur Joseph Kurup yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, BN akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis, yang menyertai PAS.

“Walaupun Muhammad Jailani masuk PAS pada Jun tahun lalu, tetapi beliau hanya mengeluarkan kenyataan baru-baru ini. Beliau harus ingat sebelum jadi calon beliau menandatangani beberapa dokumen.

“Parti akan mengambil tindakan perundangan berdasarkan dokumen yang ditandatangani dia itu,” katanya.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini