comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada ‘korban’ kerusi di Selangor – PH 

Setiausaha PH Selangor, Mohd Khairuddin Othman

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) Selangor menafikan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasainya akan ‘dikorbankan’ untuk memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha PH Selangor, Mohd Khairuddin Othman, berkata perkara itu juga tidak dibincangkan pihaknya bersama Barisan Nasional (BN) dalam rundingan agihan kerusi .

Katanya, pendirian pihaknya sangat jelas seperti mana diputuskan PH di peringkat pusat yang parti akan kekal bertanding di kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Tidak ada perbincangan berkaitan ‘korban kerusi’ di Selangor. Pendirian PH Selangor sebagaimana kenyataan Ketua Setiausaha PH (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) iaitu ‘status quo’ bagi semua kerusi yang dimenangi oleh PH. Jika kita tidak boleh menang banyak, jadi kenapa perlu adanya kerjasama,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas laporan menyatakan PH mungkin menyerahkan sekurang-kurangnya lima kerusi ‘selamat’ kepada BN dalam langkah strategik bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan.

DAP dan PKR dikatakan melakukannya untuk memastikan Selangor tidak jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN).

Malah, nama Bendahari BN Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, antara beberapa calon gabungan itu yang mungkin bertanding di kerusi selamat, yang dijangka dikorbankan oleh DAP dan PKR pada PRN akan datang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu yang tewas di Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dijangka diberi kerusi bandar majoriti Melayu yang agak selamat.

Antara kerusi disebut mahu dikorbankan adalah Sungai Pelek, Kota Kemuning, Dusun Tua, dan Dengkil.

Mohd Khairuddin percaya undi orang Melayu di Selangor lebih bersifat realistik dan yakin keputusan pilihan raya itu nanti akan memihak kepada PH.

PH Selangor juga katanya yakin pengundi muda melalui UNDI18 akan terus bersama dengan PH.

Loading...
Terkini