Tumpuan :
Politik

Tiada kelibat Tengku Zafrul di Kongres Nasional Khas PKR hari ini

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

SHAH ALAM: Lebih 10 pemimpin utama PKR termasuk Perdana Menteri yang juga Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun di Kongres Nasional Khas PKR di Dewan Raja Muda Musa, di sini, sejak pagi tadi.

Namun sehingga kini tiada kelibat Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di konvensyen khas terbabit walaupun sebelum ini wujud khabar angin akan ada pengumuman Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu menyertai PKR melalui program hari ini.

 

Berdasarkan sumber PKR, Tengku Zafrul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, tidak hadir pada konvensyen berkenaan.

“Mana ada… khabar angin sahaja itu,” katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan rundingan dikatakan giat dilakukan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR.

Sumber dalaman UMNO Selangor dikatakan mendakwa, keputusan mengenainya akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Pada masa sama, menurut sumber PKR, kongres yang dijadual berlangsung hingga jam 2 petang ini dan diadakan secara tertutup itu, sedang membincangkan mengenai usul pindaan Perlembagaan parti.

“Pindaan biasa; berkait tafsiran untuk perwakilan dan pemilihan sahaja… tiada kontroversi apa-apa lagi,” katanya.

Selain Anwar, turut hadir pada konvensyen itu ialah Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.

Hadir sama, Naib Presiden, Datuk Seri Amirudin Shari; Chang Lih Kang; Nik Nazmi Nik Ahmad; Datuk Seri Aminuddin Harun dan Nurul Izzah Anwar.

Begitu juga Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil; Ketua Wanita, Fadhlina Sidek dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim.

Semalam, Fuziah dilaporkan berkata, kongres khas hari ini antara lain akan meminda perlembagaan parti yang menyentuh jumlah perwakilan, kuota gender dan etnik.

Beliau dilaporkan berkata, pindaan itu akan mengikut prinsip keterlibatan dalam demokrasi yang bakal memberikan hak kepada anggota parti untuk mengundi pemimpin pada sesi pemilihan akan datang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini