comscore
Tumpuan :
Nasional

Tentera, polis undi awal bermula 8 pagi hari ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu semakin dirasai dengan 98,785 anggota tentera dan polis bersama pasangan masing-masing akan menunaikan tanggungjawab undi awal, hari ini.

Kesemua pusat pengundian awal di enam negeri termasuk di Kuala Terengganu dijadual dibuka serentak pada jam 8 pagi ini dan ditutup secara berperingkat mengikut kedudukan kawasan pusat mengundi.

Pengundian awal PRN bakal menyaksikan 49,660 anggota tentera dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing mengundi di 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal.

Sementara, 1,362 anggota polis dan 35 anggota tentera bersama pasangan akan terbabit dengan proses pengundian awal bagi PRK Kuala Terengganu melalui tiga pusat mengundi awal yang kesemuanya dibuka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Di IPK Terengganu, pusat pengundian awal pertama yang akan ditutup ialah bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk pada jam 12 tengah hari, diikuti pusat mengundi DUN Bandar pada jam 2 petang dan terakhir DUN Ladang pada jam 5 petang, manakala tiada pengundian awal bagi DUN Wakaf Mempelam.

Menurut laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Daftar Pemilih Pilihan Raya yang digunakan untuk PRN dan PRK Kuala Terengganu adalah daftar pemilih terkini yang dikemas kini sehingga 21 Jun 2023.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRN membabitkan enam negeri dan PRK Kuala Terengganu masing-masing pada 29 Julai dan 8 Ogos, manakala hari pengundian 12 Ogos ini.

Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula hari penamaan calon dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 11 Ogos.

PRN ini membabitkan 36 kerusi DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) serta 36 DUN di Negeri Sembilan.
PRK Parlimen Kuala Terengganu pula diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun yang membatalkan kemenangan calon PAS, Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas mendapati berlaku perbuatan rasuah. – BERNAMA

Loading...
Terkini