Tumpuan :
Politik

Tengku Zafrul ingin rampas Kerusi Kuala Selangor daripada penyandang Dr Dzulkefly (PH)

Calon BN Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz (kanan) serta penyandang dan calon Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH) (dua dari kiri) selepas diumumkan calon bertanding di Stadium Tertutup Kuala Selangor bagi PRU-15.

Oleh Amanda Lopez

KUALA SELANGOR: Parlimen Kuala Selangor menyaksikan saingan empat penjuru yang membabitkan calon Barisan Nasional Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang bertanding buat julung kali di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.

Beliau berdepan penyandang Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dari Pakatan Harapan (PH)

“Seperti yang dijangkakan persaingan empat penjuru dan insyallah kami harapkan dan doakan Barisan Nasional dapat merampas kembali kerusi Parlimen P096 Kuala Selangor.” Datuk Seri Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan itu berkata selepas pengumuman Pengurus Pegawai P.096 Kuala Selangor, Rahilah Rahmat di Stadium Tertutup Kuala Selangor.

Beliau tiba di pusat penamaan calon pada 8.45 pagi diiringi isteri Raja Datin Seri Johanna Adrina Raja Arshad dan ratusan penyokong.

“Strategi utama kami ialah kami hendak mendengar, menghayati dan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat Kuala Selangor.” tambah beliau ketika ditanya wartawan mengenai strategi untuk merampas kembali kerusi Parlimen ini.

Penyandang yang juga calon PH, Datuk Seri Dr Dzulkefly berpendapat pihaknya telah melakukan yang terbaik bagi kawasan itu.

“Saya adalah penyadang Parlimen Kuala Selangor bukan satu penggal, ia bermula dengan 2008, saya kalah 2013 tapi saya kembali merampas dan menawan kembali kerusi ini. Rakyat Kuala Selangor tahu akan khidmat saya dan saya akan mendedahkan semua kegiatan saya, khidmat saya dalam satu laporan pencapaian yang akan dibentangkan dalam waktu terdekat.Itu adalah kekuatan yang ada pada penyandang dan tidak ada pada orang yang pada saat akhir yang boleh melabur wang tapi kami melabur khidmat untuk empat tahun yang lalu,” tegas beliau.

Namun demikian, beliau berkata tidak memandang rendah kepada sesiapa pun.

“Kita ada empat calon dan saya mengambil serius semuanya. Jangan kita pandang hanya pada nama dan jawatan.” tambahnya.

Bekas Menteri Kesihatan itu memenangi kerusi Parlimen Kuala Selangor pada PRU-14 dengan majoriti 8,498 undi sekaligus merampas semula kerusi yang pernah dimenanginya pada PRU-12.

Beliau bagaimanapun tewas kepada Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dari Barisan Nasional pada PRU-13.

Selain Datuk Seri Tengku Zafrul (BN) dan penyandang Datuk Seri Dr Dzulkefly (PH), Mohd Shaid Rosli daripada Pejuang dan Mohd Noor Mohd Sahar daripada Perikatan Nasional juga bakal bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor ini.

Loading...
Terkini