
KOTA KINABALU: Persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini menyaksikan tempat duduk sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berubah, berikutan perkembangan semasa politik di Sabah, ketika ini.
Ini termasuk tempat duduk Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah merangkap ADUN Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Selain itu, dua lagi tempat duduk ADUN BN yang sebelum ini menyandang jawatan menteri dalam Kabinet negeri turut berubah, iaitu ADUN Karambunai, Datuk Yakub Khan dan ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin.
Ketiga-tiga tempat duduk ADUN terbabit dipindahkan di blok pembangkang.
Bagaimanapun, kedudukan tempat duduk lima ADUN BN Sabah yang menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah kekal.
Dua dari lima orang ADUN BN Sabah yang dilaporkan menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah, ADUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmy Yahya dan ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dilihat hadir dalam persidangan khas DUN itu.
Persidangan khas DUN hari ini membentangkan dua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan bekalan gas dan Suruhanjaya Tenaga Sabah oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Bung Moktar memaklumkan sebahagian besar ADUN BN Sabah tidak hadir dalam sidang khas DUN, berikutan perlu menghadiri menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Kuala Lumpur.
Selain itu, dalam kenyataan media berasingan, Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut memaklumkan 19 ADUN dari pihaknya juga tidak hadir dalam sidang khas, hari ini.
Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin parti terbabit menyokong penuh RUU terbabit.
Selain itu, tiga ADUN dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), iaitu ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony, ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan ADUN Bandau, Datuk Wetrom Bahanda juga tidak hadir dalam sidang DUN.
DUN Sabah mempunyai seramai 79 ADUN, iaitu seramai 73 ADUN yang dipilih dan enam orang ADUN dilantik.